Assalammualaikum

Anak dara menumbuk pandan ,
Membuat kuih hidangan kenduri ,
Ilmu yang baik jadikan teladan ,
Segala yang buruk letak ke tepi .

Burung merpati kepak bersilang ,
Turun ke bendang makan pagi ,
Simpan di peti takutkan hujan ,
Baik disimpan di dalam hati .

Tuesday, April 7, 2015

FAEDAH BELAJAR SECARA BERKUMPULAN

          Kita sering didedahkan dengan berita kejayaan anak Malaysia dalam peperiksaan awam . Kejayaan ini membantu mereka menongkah arus globalisasi yang kian kencang geloranya . Mereka mengatur perancangan pembelajaran secara berkumpulan demi meraih kejayaan tersebut agar dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pelajar seluruh dunia . 

          Kaedah tersebut merupakan minhaj yang efisien kerana kerana pelajar-pelajar yang mempraktikkannya telah menampilkan kejayaan merekan dalam peperiksaan . Manfaat belajar secara berkumpulan antaranya , pelajar dapat merasakan suasana menimba ilmu yang menyeronokkan selain dapat bertukar-tukar pendapat dengan kawan-kawan di samping meluaskan horizon pemikiran mereka . Menerusi pemikiran ini , pelajar yang pintar dapat membantu kawan-kawan yang agak ketinggalan selain melatih dirinya membina kebolehan bekerjasama dan mengikis ego . Kaedah ini akan mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh pelajar kerana mereka dapat belajar secara  santai bersama-sama teman . 

          Menerusi kaedah tersebut minat pelajar terhadap pelajaran kian bertambah menerusi rangsangan daripada kawan-kawan . Yang paling penting pendekatan ini mengizinkan percambahan dan pengukuhan konsep memberi dan menerima ilmu dalam kalangan yang terlibat . Melalui amalan perkongsian ilmu ini , seseorang itu lebih celik pemikirannya di samping pengetahuannya semakin bertambah dalam sesuatu mata pelajaran . Tambahan lagi , kaedah ini dapat memupuk semangat kerjasama dan persefahaman dalam kalangan pelajar . 

          Amalan berkenaan menjadi teras pemupukan perpaduan dalam kalangan pelajar pelbagai kaum di negara ini . Menerusi proses pembelajaran secara berkumpulan , para pelajar lebih memahami perasaan , minat , semangat dan harapan teman-teman mereka yang berlainan etnik . Dengan itu , nilai-nilai positif bukan sahaja wujud semasa mereka bersekolah bahkan akan menjangkau pada kehidupan masa hadapan . 

         Oleh sebab itu , para pelajar hendaklah mengamalkan kaedah belajar secara berkumpulan demi kemaslahatan untuk mencapai kejayaan dalam pelajaran dan membina asas toleransi sesama mereka . Suatu hal yang perlu diingat ialah kaedah ini sudah terbukti membantu pelajar meraih kejayaan dalam pembelajaran dengan itu mereka tidak wajar mengabaikannya . 

                                                                              ( 276 patah perkataan )

2 comments: