Assalammualaikum

Anak dara menumbuk pandan ,
Membuat kuih hidangan kenduri ,
Ilmu yang baik jadikan teladan ,
Segala yang buruk letak ke tepi .

Burung merpati kepak bersilang ,
Turun ke bendang makan pagi ,
Simpan di peti takutkan hujan ,
Baik disimpan di dalam hati .

Thursday, April 2, 2015

SEMANGAT PATRIOTIK

          Semangat patriotik erat hubungannya dengan kegigihan pejuang-pejuang kemerdekaan yang mempertaruhkan nyawa demi membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah . Kini , patriotisme semakin pudar daripada jiwa golongan muda kerana mereka tidak merasai kesengsaraan hidup yang dialami oleh rakyat sebelum negara mencapai kemerdekaan .

          Semangat patriotik perlu diterapkan ke dalam jiwa golongan remaja termasuk pelajar semasa mereka masih berada di bangku sekolah . Langkah itu diambil supaya menepati saranan pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya . Tindakan tersebut akan membina jiwa rakyat yang kental cintanya kepada negara . Perkara itu dapat dilaksanakan menerusi pengisahan perjuangan wira-wira tanah air menerusi media dan pertandingan menulis rencana tentang tokoh-tokoh berkenaan .

          Selain itu , pengajaran mata pelajaran sejarah di sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) perlulah dititikberatkan . Menerusi mata pelajaran tersebut , remaja akan mengenali tokoh-tokoh yang berjasa kepada negara dengan lebih dekat seperti Leftenan Adnan menggadaikan nyawanya untuk mempertahankan negara tercinta . Demikian juga dengan tokoh-tokoh lain yang terlibat dalam perjuangan menuntut kemerdekaan . Untuk memantapkan siri kekentalan jiwa itu kerajaa telah mewujudkan Program Latihan Khidmat Negara . Pelaksanaannya bertujuan untuk membina remaja yang kental jati diri dan utuh semangat patriotiknya .

          Selain langkah di atas , pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah hatta institusi pengajian tinggi perlu menyertai aktiviti-aktiviti sempena bulan kemerdekaan . Pihak sekolah wajar melaksanakannya dengan mengundang bekas-bekas pejuang kemerdekaan untuk menyampaikan ceramah kepada pelajar tentang perjuangan Tunku Abdul Rahman , Dato' Onn , Ahmad Boestamam , Ustaz Abu Bakar Bakir dan sebagainya . Selain itu , pelajar wajar dilibatkan dalam perarakan hari kemerdekaan , menggalakkan mereka mengibarkan jalur gemilang di rumah dan seumpamanya . Cara lain untuk mendekatkan remaja kepada pahlawan bangsa adalah dengan mengadakan pameran tokoh negara pada peringkat sekolah dan IPT . 

          Dalam apa-apa keadaan sekalipun remaja hendaklah mempunyai semangat patriotik yang kental , mereka hendaklah menghayati slogan pemuda harapan bangsa , pemudi tiang negara . Penghayatannya akan memberi ingatan bahawa mereka mempunyai tanggungjawab terhadap negara dan merekalah pewaris kepimpinannya dan kewajipan itu tidak boleh diabaikan sama sekali . 

                                                                                 ( 277 patah perkataan )

No comments:

Post a Comment