Assalammualaikum

Anak dara menumbuk pandan ,
Membuat kuih hidangan kenduri ,
Ilmu yang baik jadikan teladan ,
Segala yang buruk letak ke tepi .

Burung merpati kepak bersilang ,
Turun ke bendang makan pagi ,
Simpan di peti takutkan hujan ,
Baik disimpan di dalam hati .

Thursday, April 2, 2015

PEMBANGUNAN DAN ALAM SEKITAR

          Pembangunan sesebuah negara tidak sahaja bergantung pada peningkatan sektor ekonomi dan pembinaan bangunan pencakar langit semata-mata . Sebaliknya , dilihat juga keindahan alam sekitar negara tersebut . Kini , pembangunan di negara kita giat dilaksanakan dalam pelbagai bidang sejajar dengan peningkatan imej negara pada pandangan masyarakat dunia . 

          Namun begitu , kita alpa akan kepentingan alam sekitar yang berperanan untuk mewujudkan ekosistem yang seimbang . Pembangunan yang dilaksanakan tanpa perancangan rapi akan mengakibatkan kemusnahan alam sekitar seperti yang berlaku di Bukit Cahaya Seri Alam , Selangor . Masalah yang timbul daripada hal itu tidak dinafikan akan menggugat keselesaan hidup rakyat .

          Terdapat sesetengah pihak begitu gelojoh mengejar keuntungan dengan melaksanakan projek pembangunan sehingga mengetepikan kepentingan alam sekitar . Selain itu , pembangunan yang kurang terancang akan memudaratkan rakyat apabila pihak pengurusan projek tidak sensitif tentang pemuliharaan pesekitaran . Senario ini menjadikan keadaan lebih tercemar serta mengundang pelbagai masalah . Hal seumpama ini perlulah dibendung dengan segera untuk mengembalikan kesegaran dan keindahan alam sekitar di negara kita . 

          Kerajaan telah mengambil tindakan untuk memelihara alam sekitar termasuk penguatkuasaan undang-undang . Menerusinya pihak berkuasa dapat mengawal pelaksanaan projek pembangunan secara lebih terancang dan mengawal kemusnahan alam sekitar di samping kehijauan dapat ditingkatkan . Pihak swasta pula wajarlah memainkan peranan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menjaga alam sekitar menerusi kempen-kempen seperti " Kembalikan Kehijauan Bumi " . Langkah begini dapat menyuntik semangat anggota masyarakat untuk menjaga alam sekitar dan berwaspada agar tidak menyesal kemudian seperti peringatan peribahasa , iaitu sesal dahulu pendapatan , sesal kemudian tidak berguna .

          Usaha murni untuk meningkatkan taraf pembangunan sewajarnya diberi pujian dan kita sendiri menghulurkan sumbangan demi mengekalkan alam sekitar yang bersih untuk mewujudkan kehidupan yang selesa . Oleh sebab itu , kita perlulah berganding bahu meningkatkan pembangunan negara tetapi pada masa yang sama kualiti alam sekitar tidak kita abaikan .

                                                                                                ( 269 patah perkataan )

No comments:

Post a Comment