Assalammualaikum

Anak dara menumbuk pandan ,
Membuat kuih hidangan kenduri ,
Ilmu yang baik jadikan teladan ,
Segala yang buruk letak ke tepi .

Burung merpati kepak bersilang ,
Turun ke bendang makan pagi ,
Simpan di peti takutkan hujan ,
Baik disimpan di dalam hati .

Wednesday, April 8, 2015

SIMPULAN BAHASA

1. Ada hati
Maksud : Kemahuan / berhajat akan sesuatu
Ayat : Walaupun keluarganya miskin tetapi Syakirah belajar bersungguh-sungguh kerana dia ada hati hendak melanjutkan pelajarannya ke universiti suaatu hari nanti . 

2. Buah hati
Maksud : Orang kesayangan / kekasih / orang yang dicintai
Ayat : Zakri berasa gelisah kerana buah hati yang dirinduinya selama ini akan ke luar negara . 

3. Kecil hati
Maksud : Berasa tersinggung
Ayat : Jangan kecil hati akan kata-katanya kerana dia menasihati kita untuk kebaikan .

4. Langkah kanan
Maksud : Bernasib baik / bertuah
Ayat : Hari ini , Azizah langkah kanan kerana ketika dia tiba di rumah kakaknya , mereka sedang menikmati jamuan tengah hari dan dia dijemput makan bersama-sama mereka . 

5. Samar muka
Maksud : Waktu senja
Ayat : Burung-burung yang keluar mencari makan akan kembali ke sarang pada sebelah petang , iaitu ketika hari sudah samar muka

6. Terang-terang tanah
Maksud : Waktu hampir siang
Ayat : Pada waktu terang-terang tanah penoreh itu sudah berada di kebun getahnya . 

7. Ayam tambatan
Maksud : Orang yang banyak pengalaman dan menjadi harapan ( biasanya dalam pasukan permainan )
Ayat : Husaini menjadi ayam tambatan pasukan hoki sekolanya kerana kehandalannya menjaring gol .

8. Buah tangan
Maksud : Hadiah
Ayat ; Kami membawa buah tangan semasa melawat Aini di hospital . 

9. Bintang terang
Maksud : Nasib baik
Ayat : Sejak tamat pengajiannya , dia dikatakan bintang terang kerana dengan mudah ditawarkan jawatan yang bergaji lumayan .

10. Bahasa dalam
Maksud : Bahasa istana 
Ayat : Sudah teradat dalam budaya Melayu setiap rakyat yang menghadap sultan hendaklah  menggunakan bahasa dalam

11. Mandi peluh
Maksud : Bekerja dengan sepenuh tenaga
Ayat : Mereka sanggup mandi peluh asalkan surau di kampung itu dapat disiapkan mengikut jadual .

12. Otak cair
Maksud : Pintar / bijak / pandai
Ayat : Alimin dianggap pelajar yang otak cair kerana dapat menjawab semua soalan yang dikemukakan kepadanya dengan tepat .

13. Air muka 
Maksud : a. Wajah
                b. Maruah
Ayat : Air muka Ati muram sahaja apabila ibunya melarang dia mengikuti kawan-kawannya ke pekan . / Tidak baik mencemuh dan menjatuhkan air muka orang di depan khalayak.

14. Alas cakap
Maksud : Kata pendahuluan sebelum persoalan utama diperkatakan
Ayat : Alas cakap yang disampaikan oleh pengerusi forum itu menjadi pencetus kepada persoalan yang akan dibincangkan oleh ahli panel . 

15. Bau-bau bacang
Maksud : Persaudaraan yang jauh
Ayat : Saya selalu melawatnya apabila ke Kuala Lumpur kerana hubungan kekeluargaan kami masih bau-bau bacang

16. Buah pena
Maksud : Hasil tulisan atau karya
Ayat : Cerpen yang berjudul " Pertemuan Pertama " ialah buah pena sasterawan negara . 

17. Ikat perut
Maksud : Mengurangkan / kurang makan kerana miskin
Ayat : Setiap hari kami sekeluarga terpaksa ikat perut kerana ayah uzur dan tidak dapat bekerja seperti dulu . 

18. Tajam hati
Maksud : Seseorang yang mudah memahami sesuatu yang diajarkan
Ayat : Murid yang tajam hati menjadi kesayangan guru-guru dan rakan sekolahnya . 

19. Anak emas
Maksud : Orang yang sangat disayangi
Ayat : Kamini menjadi anak emas majikannya kerana kejujuran dan kesetiaannya kepada syarikat . 

20. Asam garam
Maksud ; Pengalaman 
Ayat : Sepanjang hidup ini banyak asam garam yang pasti kita tempuhi . 

21. Bertali arus
Maksud : Tempat yang tidak putus-putus dilalui orang
Ayat : Jalan menuju ke kawasan peranginan itu sangat sibuk dan kenderaan pun bertali arus menggunakannya dari pagi hingga petang .

22. Lidah pendeta
Maksud : Kata-kata hikmat daripada orang yang bijak pandai
Ayat : Selama ini dia menjadikan lidah pendeta sebagai panduan hidupnya . 

23. Pelanduk dua serupa
Maksud : Dua orang yang serupa benar
Ayat : Saya sukar hendak mengecam kedua-dua orang beradik kembar itu kerana wajah mereka saling tidak tumpah bagaikan pelanduk dua serupa

24. Tangan terbuka
Maksud : Suka menolong orang / murah hati
Ayat : Dia membiayai persekolahan anak yatim itu dengan tangan terbuka

25. Adu domba / mengadu domba
Maksud : Melaga-lagakan seseorang atau kumpulan dengan seseorang atau kumpulan yang lain
Ayat : Pendatang tanpa izin suka mengadu domba penduduk di kampung itu untuk kepentingan dirinya . 

26. Akal budi
Maksud : Fikiran yang sihat
Ayat : Kita wajar mengambil sesuatu tindakan dengan berpandukan akal budi agar tidak menyesal kemudian . 

27. Bahasa kesat
Maksud : Bahasa kasar yang digunakan dalam tulisan atau pertuturan
Ayat : Kebanyakan orang tidak menyenangi sikapnya dan enggan berkawan dengannya kerana dia suka menggunakan bahasa kesat .

28. Bulat kata
Maksud : Sepakat dalam melakukan sesuatu
Ayat : Kita wajar bertindak secara bulat kata apabila mengambil sesuatu keputusan agar dapat memuaskan hati semua pihak . 

29. Gencatan senjata
Maksud : Memberhentikan peperangan
Ayat : Kedua-dua belah pihak yang berperang itu telah bersetuju untuk mengadakan genjatan senjata untuk memberi laluan kepada pihak ketiga merintis jalan perdamaian . 

30. Mencolok mata
Maksud : Sesuatu yang tidak elok dipandang
Ayat : Pakaiannya yang menjolok mata itu bukan sahaja bertentangan dengan adat resam malah melanggar ajaran agama juga . 

31. Masin lidah
Maksud : Apa-apa yang dikatakan menjadi kebenaran
Ayat : Anak-anak tidak boleh derhakan kepada ibu bapa kerana doa kedua-duanya dimakbulkan Tuhan dan berkat masin lidah mereka akan memudaratkan si penderhaka itu . 

32. Nyawa-nyawa ikan
Maksud : Hampir-hampir mati
Ayat : Perompak itu tinggal nyawa-nyawa ikan saja lagi setelah ditembak oleh polis .

33. Senyum kambing
Maksud : Senyum mengejek
Ayat : Kami hanya terdaya senyum kambing saja apabila melihat gelagat Ayu yang suka mengada-ada itu .

34. Zaman bahari
Maksud : Zaman purbakala
Ayat : Artifak yang ditemui itu merupakan barang-barang zaman bahari yang nilai sejarahnya amat tinggi . 

No comments:

Post a Comment