Assalammualaikum

Anak dara menumbuk pandan ,
Membuat kuih hidangan kenduri ,
Ilmu yang baik jadikan teladan ,
Segala yang buruk letak ke tepi .

Burung merpati kepak bersilang ,
Turun ke bendang makan pagi ,
Simpan di peti takutkan hujan ,
Baik disimpan di dalam hati .

Saturday, April 4, 2015

MENJAGA KEBERSIHAN TANGGUNGJAWAB SEMUA PIHAK

          Slogan " Jaga Kebersihan " terpapar di merata-rata tempat dengan harapan dapat meyedarkan kita untuk menjaga kebersihan alam sekitar . Selain itu , negara kita memperuntukkan biaya khusus bagi meyediakan tempat pembuangan dan pelupusan sampah . Namun begitu , masih terdapat segelintir anggota masyarakat yang tidak bertanggungjawab telah membuang sampah sewenang-wenangnya . 

          Usaha untuk membendung masalah itu termasuklah setiap orang wajar membuang sampah ke dalam tong sampah sama ada tong sampah kitar semula atau tong sampah statik yang diletakkan di tempat-tempat khusus . Dengan kemudahan tersebut , tidak harus lagi sesiapa pun membuang sampah merata-rata . Selain itu , sikap bertanggungjawab dalam kalangan rakyat dapat ditingkatkan dan kebersihan kawasan persekitaran sentiasa terjaga .

          Selain pendekatan di atas , institusi keluarga haruslah memainkan peranan dalam ikhtiar menjaga kebersihan . Ibu bapa hendaklah membimbing anak-anak membersihkan kawasan rumah . Amalan itu haruslah dijadikan rutin setiap keluarga . Hal ini bertujuan untuk menerapkan nilai mementingkan kebersihan di dalam jiwa anak-anak di samping mendidik mereka bekerjasama dan sanggup memikul susah senang bersama-sama . Lagipun langkah itu bersesuaian dengan anjuran pepatah Melayu ke bukit sama didaki , ke lurah sama dituruni . 

          Usaha menjaga kebersihan kawasan persekitaran dapat dilakukan oleh penghuni taman perumahan . Jawatankuasa penduduk hendaklah menggerakkan ahli-ahlinya menjaga keersihan dengan menganjurkan gotong-royong . Menerusi aktiviti tersebut anggota masyarakat akan bekerjasama membersihkan kawasan kediaman di samping perpaduan sesama mereka bertambah erat juga . Di samping itu , Jabatan Alam Sekitar harus bertindak tegas dengan mendenda sesiapa sahaja yang membuang sampah tanpa mematuhi peraturan . Menerusi langkah tersebut dapat dijanakan sikap masyarakat yang bertanggungjawab terhadap kebersihan alam sekitar .

          Tegasnya , usaha menjaga kebersihan merupakan tanggungjawab semua pihak , bukannya terbeban atas pundak sesetengah masyarakat sahaja . Dengan itu , semua pihak haruslah bekerjasama menanganinya kerana kita tidak mahu lagi hidup dalam persekitaran yang kotor , jijik , dan meloyakan .

                                                                                               ( 256 patah perkataan )

16 comments: