Assalammualaikum

Anak dara menumbuk pandan ,
Membuat kuih hidangan kenduri ,
Ilmu yang baik jadikan teladan ,
Segala yang buruk letak ke tepi .

Burung merpati kepak bersilang ,
Turun ke bendang makan pagi ,
Simpan di peti takutkan hujan ,
Baik disimpan di dalam hati .

Tuesday, April 7, 2015

PENJAGAAN KESIHATAN

          Masayarakat kini kian prihatin terhadap penjagaan kesihatan , kecaknaan tentang kualiti kesihatan diri akan membentuk keseimbangan mental dan fizikal . Kita harus sedar bahawa wang dan harta yang bertimbun tidak bermanfaat sekiranya hidup bertemankan kesengsaraan akibat tubuh yang tidak sihat . Persoalannya , sama ada kita mahu mengamalkannya atau tidak .

          Amalan gaya hidup sihat yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan sangat signifikan dengan hidup yang sejahtera dan perlu dititikberatkan oleh sesiapa sahaja . Oleh sebab itu , pengamalan diet yang seimbang berdasarkan piramid makanan perlulah menjadi garis panduan pengambilan makanan . Dengan itu , kita wajar mengurangkan pengambilan makanan yang berkolesterol dan glukosa tinggi . Amalkan pemakanan yang mengandungi karbohidrat yang mencukupi di samping sayur-sayuran dan buah-buahan sebagai sumber tenaga , vitamin dan serat . Dengan itu , penyakit kronik seperti diabetes dan penyakit jantung dapat dihindari . 

          Di samping itu , untuk melestarikan kehidupan yang sihat aktiviti bersenam seperti berjoging wajar diamalkan sekurang-kurang tiga kali seminggu selama dua puluh minit setiap sesi . Tanpa amalan tersebut badan akan lesu selain membuka ruang kepada seseorang itu diserang angin ahmar dan penyakit-penyakit lain berkaitan dengan kandungan kolesterol yang tinggi dalam darah . 

          Selain itu , kita wajar menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala agar dapat dipastikan tahap kesihatan . Hal ini dianggap penting kerana usaha mengekalkan tahap kesihatan dapat dilestarikan . Menerusi pemeriksaan tersebut , kita mendapat khidmat nasihat tentang keadaan kesihatan . Sekiranya terdapat gangguan kesihatan kita dapat mengambil langkah awal untuk mencegahnya kerana mencegah itu lebih baik daripada mengubati . 

          Menerusi penjagaan kesihatan , kita dapat menghadapi hidup dengan lebih yakin . Oleh hal yang demikian , kita wajar mengamalkan gaya hidup sihat agar terhindar penyakit kronik yang semakin menular dalam kalangan rakyat di negara ini .

                                                                          ( 263 patah perkataan )

1 comment: